For a better tomorrow.

KUNJUNGAN UKHUWWAH KE MUHAMMADIYAH WILAYAH JAWA BARAT, BANDUNG

Pada 16 April yang lalu, delegasi Pertubuhan Minda Progresif (PMP) dan Kominda, yang diketuai oleh Tn. Hj. Mazni dan Pn. Hjh. Shima bersama 10 orang ahli jawatankuasa PMP/KOMINDA telah mengadakan kunjungan ukhuwah ke pimpinan Muhammadiyah.

Muhammadiyah Wilayah Jawa Barat (Jabar) merupakan sebahagian daripada gerakan Muhammadiyah yang diasaskan pada tahun 1912 oleh Kiyai Ahmad Dahlan, dengan semangat pembaharuan Islam yang berakar daripada penghayatan mendalam terhadap Surah Al-Ma’un yang menekankan kepedulian terhadap golongan miskin dan terpinggir. Berpegang teguh pada falsafah Islam berkemajuan, gerakan ini memfokuskan pembangunan masyarakat secara menyeluruh melalui pendidikan, kebajikan, dan kesihatan. Usaha ini diterjemahkan melalui penubuhan pelbagai institusi seperti panti asuhan, rumah sakit, sekolah dan universiti yang memberi manfaat luas kepada masyarakat. Kini, Muhammadiyah berkembang sebagai NGO yg ke 2 terbesar di Indonesia dengan kekuatan utama pada model penggerakan masyarakat berasaskan sumbangan umat secara berterusan.

Lawatan ini bertujuan mempelajari amalan pentadbiran serta model pembangunan organisasi dalam menguruskan badan masyarakat yang berskala besar. Delegasi turut berpeluang mengikuti sesi pembentangan institusi oleh Ardi Fajar Gunawan (Ketua LP UMKM Muhammadiyah Jawa Barat) serta mengadakan lawatan ke universiti-universiti dan rumah sakit yang dibangunkan oleh Muhammadiyah yang terbukti berprestij dan mapan.

Selain berteraskan semangat Al-Ma’un dan gagasan Islam berkemajuan, Muhammadiyah menjunjung nilai tauhid yang murni dengan menolak segala bentuk syirik, khurafat dan bida’ah, serta kembali kepada sumber utama Islam iaitu al-Quran dan sunnah. Gerakan ini menekankan konsep tajdid yang menggabungkan pemurnian dan pembaharuan agar ajaran Islam kekal relevan sepanjang zaman. Dalam masa yang sama, pendekatan amal usaha yang praktikal diterjemahkan melalui pembangunan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan kebajikan. Penekanan terhadap ilmu, kemandirian berasaskan sokongan umat, pendekatan wasatiyyah, disiplin organisasi serta profesionalisme yang tinggi memperkukuh kedudukan Muhammadiyah sebagai institusi masyarakat yang menyumbang secara menyeluruh kepada kesejahteraan ummah terutamanya di Indonesia.

Dalam menggerakkan semangat filantropi, Muhammadiyah menanamkan kesedaran bahawa perjuangan dalam organisasi merupakan satu bentuk ibadah dan pengorbanan, bukan medan kepentingan peribadi; membentuk jiwa pendokong untuk memberi tanpa mengharapkan ganjaran material Semangat ini diperkukuh melalui pendidikan nilai, penglibatan dalam amal usaha, sistem pengurusan yang telus, serta kepimpinan berintegriti. Hasilnya, terbina ekosistem filantropi yang kukuh dengan menggerakkan sumbangan harta, tenaga dan kepakaran secara kolektif, berterusan dan berorientasikan manfaat kepada umat.

Akhir sekali, segala input yang digarap menerusi diskusi pada kunjungan ukhuwwah ini amat memberi erti yang besar kepada institusi NGO yang kecil seperti PMP bagi merangka strategi kerja dakwah yang lebih sistematik. Kami berharap agar jalinan kolaborasi antarabangsa7 bersama Muhammadiyah dapat digembleng pada masa hadapan bagi projek-projek yang sesuai dan relevan demi memajukan umat Islam di peringkat nasional mahupun global, bi iznillah.

Nota: Kunjungan ini adalah atas biayaan persendirian bukan saraan PMP mahupun Kominda

Jazakumullahu khayran katheera. 🙌🏻

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *